Thursday, 12 April 2012

Papisse Cisse Idam setanding Shearer

Papisse Cisse
Papisse Cisse


PENYERANG Newcastle, Papisse Cisse mula meletak sasaran untuk ke Liga Juara-Juara selepas membantu kelabnya ke saingan peringkat Eropah menerusi 10 gol dalam sembilan perlawanan pertama dan mahu mengikut jejak seorang lagi penyarung jersi nombor 9, Alan Shearer.

Pemain Senegal itu yang dibawa masuk dari kelab Bundesliga, Freiburg menerusi kontrak selama lima setengah tahun bermula Januari lalu menghasilkan impak serta-merta ke atas pasukan Tyneside dan penyokong mula membandingkannya dengan penjaring terbanyak kelab itu.

“Saya sedar jersi nombor 9 begitu diagungkan di Newcastle, ia satu detik paling saya ingati,” kata Papisse.

“Alan Shearer meletakkan tahap yang amat tinggi dan saya perlu mengikuti jejak langkahnya. Saya perlu sedar mengenai masa silam dan apa ertinya jersi ini.


“Saya melakukan apa yang boleh untuk menjadi pemain bernilai. Alan Shearer adalah contoh yang saya akan cuba ikuti.


“Saya tidak mahu membuktikan saya sebagus beliau tetapi mengikut langkah kejayaan yang dicipta penyarung jersi ini.

“Satu-satunya cara yang boleh saya lakukan adalah menjaringkan gol, bermain dengan baik dan setakat ini, ia kelihatan lebih baik daripada saya bayangkan,” katanya.

Selepas beberapa minggu menafikan peluang kejayaan Newcastle dalam Liga Perdana Inggeris, pengurus Alan Pardew kini memberi tumpuan terhadap bola sepak Eropah musim depan.

Kemenangan 2-0 ke atas Bolton Wanderers, Sabtu lalu membolehkan kelab itu berkongsi mata dengan Tottenham dan dua mata di atas Chelsea yang menduduki tangga kelima.

“Semua orang cuba untuk bertenang tetapi sudah pasti ia sesuatu yang hebat untuk kelab ini jika mara ke Liga Juara-Juara,” kata Cisse.

“Kami tidak mahu terlalu memperkatakan mengenainya dan kami perlu menghadapinya satu demi satu tetapi sudah pasti sukar untuk tidak memikirkannya. Kami kini semakin hampir.

“Ia semakin hampir dicapai tetapi masih ada lima perlawanan, jadi laluannya masih jauh. Sudah tentu saya melihat keputusan perlawanan lain. Ia sesuatu yang biasa kerana saya manusia.

“Chelsea menjaringkan gol pada minit terakhir menentang Wigan dan ia cukup memalukan kami tetapi masih ada lima perlawanan dan 15 mata menjadi rebutan.

“Kami perlu terus berjuang dan memberikan segala-galanya tetapi menjadi impian saya untuk mara ke Liga Juara-Juara.

“Kami berada di sini dengan beberapa pasukan yang turut berpeluang. Sukar untuk saya mempercayainya tetapi itulah yang berlaku.”-Metro

No comments: