Thursday, 12 April 2012

TEMASYA Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2012 Bermula

TEMASYA Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) Fasa 1 di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menyaksikan penyertaan 1,600 atlet daripada 20 universiti awam seluruh negara.

Berlangsung kelmarin hingga Sabtu ini, temasya itu menampilkan lapan jenis sukan iaitu renang, skuasy, futsal, badminton, catur, tenis, memanah dan tenpin bowling.

Pengerusi Masum, Profesor Madya Datuk Dr Kasim Mohd Mansur berkata, 276 pingat menjadi rebutan pada saingan Fasa 1 itu dan Fasa 2 di Universiti Tun Hussein Onn, Johor dari 13 hingga 19 Julai ini.

Katanya, temasya itu bertujuan mencungkil bakat baru dari kalangan pelajar universiti bagi menghadapi sukan universiti peringkat antarabangsa dijadual hujung tahun ini.

“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Masum merancang menyertai Kejohanan Sukan Universiti Asian Ke-16 di Laos, Disember ini yang menyaksikan 16 sukan dipertandingkan,” katanya.

Katanya, KPT memperuntukkan RM10 juta khas untuk pelajar yang menerima biasiswa sukan supaya mereka terus cemerlang dalam sukan dan akademik.

Sementara itu, Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin yang merasmikan temasya itu mencadangkan kepada KPT supaya menambah bilangan penerima biasiswa itu kepada atlet yang memenangi pingat di peringkat atarabangsa.

“Tahun lalu, 168 pelajar menerima biasiswa itu dan tahun ini bilangannya bertambah kepada 200 pelajar, saya cadangkan ia ditambah lagi supaya lebih ramai atlet dari kalangan pelajar IPT dapat dilahirkan,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga mencadangkan kepada Unimas supaya memulakan program pengajian sokongan profesional kepada atlet bagi membantu mereka menjalani program pembangunan sukan negara.-Metro

No comments: